Negara-bangsa
Brunei yang wujud pada masa sekarang yang mempunyai sejarah yang panjang serta
berterusan mungkin sejak abad ke-9 lagi dan pernah berjaya membina empayar yang
besar yang meliputi pulau Lesung di utara dan keseluruhan bahagian utara dan
timur pulau Borneo. Mungkin
boleh dirumuskan bahawa Kerajaan Brunei awal merupakan entiti unggul di sebelah
timur zon politico-cultural Melayu. Kerajaan Brunei
awal ini ditakdirkan terletak tidak jauh dari Gua Niah yang telah diduduki manusia
pra-sejarah 40,000ESS.[19] Walaupun
terdapat pantang-larang untuk bersepekulasi wujudnya sebarang kaitan masa dan
ruang pra-sejarah Gua Niah bersama Gadis Niah, tetapi mungkin dibolehkan
sekadar menyebutnya sahaja supaya kerajaan Brunei dalam sejarah awal bukan
muncul di utara Borneo ini dalam masa dan ruang silam yang kosong. Begitu juga
halnya dengan petempatan pra-sejarah lain di Palawan, Sabah dan
Kalimantan. Malah
spekulasi seperti ini diperkuatkan bahawa negeri-kerajaan yang pasti lebih tua
ialah Kutei, muncul pada sekitar tahun 400ES, sebelum Srivijaya, betul-betul
terletak di garis selatan dari Gua Niah dan Brunei.
Historiografi
Brunei agak lumayan, termasuk periode kerajaan awal yang telah dikaji oleh
Donald Brown, Robert Nicholl, Awang Muhamad Jamil Al-Sufri dan juga Bilcher
Bala. Bagaimanapun
adalah suatu yang lumrah dalam usaha merekonstruksi periode awal di mana
kekurangan sumber maka banyak naratif terganggu dengan unsur spekulasi yang
tebal dalam melakukan pentafsiran terhadap fakta yang sangat terhad itu dalam
sejarah awal Kerajaan Brunei. Perbezaan
pendapat sangat ketara dalam naratif asal-usul di antara mereka. Robert Nicholl
mencadangkan bahawa berlaku perpindahan Kerjaan Kamrun atau Ku-lun dari tanah
daratan, sekarang mungkin di Kemboja dan Vietnam, ke Borneo berdasarkan sumber
China dan Arab.[20] Awang Muhamad
Jamil Al-Sufri menceritakan kemunculan seorang lelaki yang berkahwin dengan 14
orang wanita yang akhirnya melahiran 14 orang saparadian berlandaskan
sumber tradisi lisan dan memberi nama negeri mereka “baru-nah”.[21] Bilcher Bala
akur dan memetik tulisan Tom Harrisson bahawa Brunei telah
didirikan oleh seorang Kelabit bernama Simaun yang menjadi raja pertama kerana
terdapat tradisi lisan mengatakan demikian dan kerana dalam bahasa Kelabit
perkataan “maun” bererti “tua” dan masyarakat Lun Bawang pula menamakan beliau
sebagai “Semaring”.[22] Bagaimanapun
penduduk di Dunia Melayu, termasuk di Borneo, dalam sejarah awal adalah
berbangsa Melayu dan beragama Hinduisme atau animisme dan apa bila agama Islam
dianuti oleh semua kerajaan maka sebilang besar Melayu dan Melayu yang tidak
masuk Islam menjadi suku kaum lain yang hanya pada abad ke-19 dilabelkan dengan
berbagai nama, termasuk nama umum Dayak.[23]
Saya
mengetengahkan pandangan mirip pendapat Awang Muhamad Jami Al-Sufri
berlandaskan sumber manuskrip Rangau dan Syair
Awang Samacun bukan
sekadar sumber tradisi lisan.[24] Manuskrip Rangau
menceritakan kehadiran seorang lelaki itu di pantai Teluk Brunei sedangkan Syair Awang Samacun mengisahkan adventure 14 orang saparadian yang akhirnya
bersetuju membina sebuah negeri di kuala sungai itu yang “baru-nah” berkenan di
hati mereka. Yang
tertua di kalangan mereka ialah Awang Alak Betatar yang kemudian menjadi raja
pertama dan Awang Samacun ialah nombor dua yang menjadi panglima
yang terhandal sehingga dijadikan judul syair ini. Kegagahan Awang Samacun
dan peranan beliau sebagai panglima memungkinkan nama ini diambil dari
manuskrip Hikayat
Samacun yang
disadur dari sebuah cerita Arab mengenai kehebatan seorang panglima Nabi
Muhammad SAW. Hikayat
ini agak terkenal di Arkipelago Melayu dan terdapat juga versi dalam Bahasa
Sunda di pulau Jawa.[25] Awang Samacun
boleh juga dilihat mempunyai perkataan Arab “macun” bererti
“mendengar”.[26] Pembacaan yang
teliti menunjukkan kesejarahan syair ini mungkin meyakinkan apa bila laporan
China tahun 977ES merakamkan tentang pentadbiran Bo-ni,“[t]here are a total of
fourteen prefectures with small mountains.”[27] Persamaan
angka 14 saparadian dan fourteen
perfectures sangat
sempurna dan menakjubkan sehingga keinginan untuk membuat spekulasi sukar
dibendung bagi memutuskan bahawa syair ini karya sejarah dan Brunei merupakan
sebuah negeri-kerajaan yang besar dengan mempunyai 14 buah kawasan
takluknya. Laporan
China pertama sekali sekadar mencatat nama Bo-ni ialah pada tahun 860ES dan
hanya dalam laporan tahun 977ES.[28] Laporan China
ada menyebut beberapa orang nama raja seperti Hiangta (977ES), Si-li-ma-je
(1082ES), Ma-ho-mo-sa (1370ES), Ma-na-je-ka-na (1408ES) dan Hsiawang (1408ES).
Di bahagian awal
silsilah raja-raja Brunei memberi gambaran pan-Melayu Brunei yang merangkumi
warisan dan pertalian erat dengan pusat Dunia Melayu. Ini adalah
kerana “turun temurun yang mengambil mengambil pesaka nobat negara genta calamat”
dari negeri Johor dan Minangkabau.[29] Di samping itu,
“Maka Sultan itu
dinuerahai oelh Yang Di Pertuan Johor nobat negara dan gentacalamat
dan negeri lima buah, iaitu Kalaka’ dan negeri Saribas dan negeri Semarahan dan
negeri Serawak dan Mukah.”[30]
Pada tahun 1940 H.
R. Hughes-Hallet dalam sebuah artikel turut menyatakan:
“according
to Javanese records a Javanese force expelled Sulu marauders from Brunei in
1368 and Brunei is mentioned as one of the countries conquered during the reign
of Angka Wijaya . . . .”[31]
Beliau tidak
menyebut sumber Jawa yang dirujuk, mungkin karya Prapanca,Negarakertagama di mana
dicatatkan:
“Pupuh 14
Kandandangan,
Landa, Samadong dan Tirem tak terlupakan Sedu, Barune (ng), Kalka, Saludong,
Solot dan juga Pasir, Barito, Sawaku, Tabalung, ikut juga Tanjung Kutei
Malano tetap
yang terpenting di Pulau Tanjungpura”[32]
Santubong dan Negeri Sarawak
Kesejarahan Negeri Sarawak seperti
berada di depan mata. Sumber
bumiputera, arkeologi dan tarafnya yang sentiasa penting dalam merentasi semua
masa dan ruang sejarah silam hingga sekarang tetapi gagal dilihat dengan
cepat. Selepas menemui semula Syair
Tarsilah Cetera Dato’ Gudam dan Temenggong Abdul Kadir Negeri Saribas pada tahun 2005 dan setelah
mengkajinya beberapa tahun baharulah mata hati terlihat Hikayat Datuk Merpati yang telahpun diterbitkan sebagai
karya sejarah mengenai Negeri Sarawak lama.[33] Datuk
Merpati dan saudaranya berasal dari sebuah gunung berapi di Pulau Jawa dan
mengembara ke Johor, Sukadana, Sambas dan Tanjung Datu. Pada suatu hari mereka membantu Datuk
Kuli dan Datuk Kuali yang terdampar di tanjung itu di mana mereka kemudian
mengundang Datuk Merpati pindah ke Sungai Sarawak. Bagaimanapun dalam perjalanan itu
Datuk Merpati mengubah fikiran:
Alkisah maka tersebutlah cerita Datuk
Merpati membuka negeri di Kuala Santubong. Tiada antara berapa lama
sesudah dia diam di situ, Datuk Permaisuri Kemala pun melahirkan seorang anak
perempuan. Telah diberinya
nama anak itu Dayang Seri Bulan. Maka
telah sukalah hati Datuk Merpati kerana melihat anak perempuannya
itu. Merpati Jepang juga suka melihat adiknya. Bertambah sukalah ahli kaum kerabat di
dalam negeri itu.[34]
Pada suatu masa Datuk Merpati dan Datuk
Permaisuri Kemala telah menyelamatkan diri ke Brunei kerana diserang oleh
Pego. Di Brunei Datuk
Merpati bertemu dengan Samacun. Setelah diuji kekuatannya telah
berjaya panglima dan ditugaskan menjaga anak Datuk Merpati, Dayang Seri Bulan
yang kemudian berkahwin dengan Sultan Bungsu dari Selangor.[35] Dalam
pada itu anak lelaki Datuk Merpati, Merpati Jepang telah dewasa dan mentadbir
negeri Santubong ”beroleh pupu kebanyakan” dan pandai membawa kaumnya.”[36]
Sejauh manakah kesejarahan Hikayat Datuk Merpati? Datuk Merpati yang dinukilkan berasal
dari Jawa mungkin juga melambangkan pengaruh
Majapahit di Sarawak seperti yang dibuktikan dalam Negarakertagama sebelum tahun 1365. Nama Merpati mungkin korupsi Parpatih dalam Datuk Parpatih nan Sabatang dalam masyarakat di Dunia Melayu dan
”Merpatih” dalam masyarakat Minangkabau. Mungkin yang lebih dekat ialah nama
tempat di Jawa pada masa kejatuhan Majapahit dan kebangkitan Demak seperti
dinyatakan, ”meletakkan Pangeran Benowo sebagai Raja
Jipang-panolan.”[37]
Salah sebuah kawasan di dalam wilayah
kebudayaan Sarawak yang terbukti pernah menjadi negeri ialah di Kuala Sungai
Sarawak yang besar yang dikenali sebagai Santubong. Malah di sini merupakan
kawasan pertama dilakukan kerja-kerja arkeologi bukan saja dalam konteks
Sarawak baru dan lama tetapi juga dalam konteks keseluruhan pulau Borneo yang
besar ini. Tanda-tanda
tentang peri pentingnya kawasan Santubong sebenar dicetuskan oleh penemuan
Nandi dan Yoni oleh James Brooke tidak lama setelah menjadi “raja” Sarawak,
sebelum berlakunya pemberontakan China pada tahun 1857.[38] Selain daripada jumpaan batu besar ini James Brooke juga
mengumpulkan artifak-artifak emas.[39] Penemuan artifak yang diperbuat dari emas ini menunjukkan
bahawa kawasan ini menarik perhatian orang asing, khususnya orang dari India
pada peringkat awal. Mungkin
oleh kerana adanya emas, bukan saja di lembah Sungai Sarawak tetapi juga di
bahagian barat-daya Borneo, kawasan yang terbanyak mengandungi emas daripada
tempat-tempat lain di kepulauan Melayu, telah dikaitkan dengan nama-tempat
Survanabhumi (Bumi Emas) oleh orang India dan juga sebagai Iabadiou oleh
Ptolemy pada c.150ES.
Penemuan awal ini telah memberi
perangsang kepada Muzium Sarawak untuk melakukan kajian arkeologi. Pada tahun
1949, di bawah pimpinan Tom Harrisson, telah berhasil mengumpulkan ribuan
pecahan tembikar China di Santubong.[40] Hasil dari kajian yang dilakukan ke atas tembikar ini
serta artifak-artifak keagamaan Hindu mereka berpendapat bahawa Santubong
sebagai politi sudah wujud sejak abad ke 7 lagi dan terus kekal hingga abad
ke-10[41] atau
abad ke-14.[42] Di samping itu adanya tahi besi (iron-slag yang dianggarkan sebanyak 40,000 tan[43] menguatkan pendapat bahawa kawasan Santubong ini
merupakan kota-pelabuhan yang besar dan penting. Setelah dikaji oleh kedua orang pakar
ini mereka berpendapat bahawa industri ini wujud di antara tahun 900ES hingga
1350ES.[44] Bagaimanapun mengikut O.W. Wolters, seorang sejarawan
Asia Tenggara tua, China mungkin telah mengetahui tahi besi ini sejak abad ke 3
lagi dengan mentafsirkan bahawa pulau Tan-lan yang disebut dalam laporan China
itu terletak di barat-daya Sarawak.[45] Jika tafsiran sejarawan terkenal ini betul mungkin
Tan-lan yang menghasilkan besi ini ialah Pulau Talang-Talang tetapi ahli
arkeologi, mahupun Muzium Sarawak tidak pernah mengaitkan pulau ini dengan
penemuan tahi besi di kawasan Santubong walaupun pulau ini tidaklah begitu jauh
dari tempat tersebut.[46]
Penemuan bahan-bahan arkeologi di
kawasan Santubong ini telah mencetuskan berbagai pentafsiran dan
pendapat. Ahli-ahli arkeologi
kecuali Jan Wisseman Christie berpendapat bahawa kawasan ini sudah menjadi
bandar-pelabuhan penting sejak abad ke-7 hingga abad ke-14. Jan Wisseman Christie sebaliknya
berpendapat bahawa Santubong muncul pada akhir abad ke-10 dan terus wujud hingga
abad ke-14.[47] Tentang kepentingan dan peranan kota-pelabuhan ini secara
am dipersetujui oleh penyelidik-penyelidik dan pentafsiran yang lebih jelas dan
terbaru ialah dari Jan Wisseman Christie:
“Santubong is a complex of port sites in the Sarawak river delta
which rivals in site and richness found in the Muda and Merbok valleys of
Kedah. It is undoubtedly the remains of the port-capital of the state
of Po-ni … The port was evidently founded in this region in the later tenth
century, when it comprised only of one residential site, Sungei Jaong, and an
associated burial ground nearby at Tanjong Kubor.”[48]
Selepas itu terdapat pula pusat petempatan
lain di sekitar Santubong seperti di Bongkissam. Bagaimanapun politi-politi ini
kemudian dikuasai oleh Santubong yang menjadi sebuah negeri di kawasan ini.
Dari kajian yang dilakukan ke atas
ribuan serpihan tembikar China negeri Santubong ini terus wujud hingga ke abad
ke 14.[49] Pendapat ini dikuatkan lagi dengan tulisan China Nan-hai-chih yang menyenaraikan kerajaan-kerajaan
tua di Borneo pada tahun 1304.[50] Pada masa ini Brunei yang ditulis oleh China sebagai
Tung-yang Fo-ni jelas sekali menguasai keseluruhan utara Borneo. Di antara politi-politi yang berada di
bawahnya dan yang terkandung di dalam wilayah kebudayaan Sarawak ialah
Sha-hu-chung.[51] Carrie Brown mentafsirkan bahawa Sha-hu-chung ini mungkin
Saludung yang terletak di pantai timur Borneo.[52] Bagaimanapun penulis ini berpendapat bahawa dari segi
urutan tempat-tempat yang dikuasai oleh Po-ni. Ini lebih sesuai ianya merujuk kepada
Santubong, di samping itu Saludung sehingga kini tidak mempunyai bahan
arkeologi seperti yang terdapat di Santubong. Sha
hu chung dalam Mandarin, bahasa
rasmi dan tulisan orang China, bererti ”lautan batu karang” dan adalah tidak
betul jika sebutannya diubah kepada san
choo bong, sebutan Melayu dalam dialek Hakka yang bererti ”king of wild
pig”.[53]
Sumber Jawa, Negarakartagama[54] yang ditulis pada tahun 1365 menunjukkan bahawa Brunei
(Bo-ni) telah dikuasai pula oleh Majapahit. Permulaan perluasan Majapahit ini
dipercayai berlaku pada tahun 1350[55] dan ini menyebabkan perdagangan dengan China di Santubong
terhenti seperti yang terbukti dengan tembikar-tembikar yang dijumpai tidak
menunjukkan tembikar Ming.[56] Santubong sebagai nama politi juga turut hilang dan
digantikan oleh nama baru, iaitu Sawaku (Sarawak) di dalam Negarakartagama.[57] Kehadiran Majapahit mungkin telah menyebabkan perpindahan
penduduk[58] negeri Santubong ini kepada politi-politi lain seperti
Sadong dan Gedong.
Negeri Samarahan dan Sadong
Adanya penemuan tembikar China abad ke
14 dan 15 di dua buah tempat di lembah Sungai Sadong menunjukkan terdapatnya
kesinambungan politi di pantai dengan yang wujud di pendalaman. Gedong yang terletak 40 batu dari
Santubong dan 56 batu dari pantai. Di
sini terjumpa 79,754 pecahan tembikar dan ratus benda lain seperti manik, duit
siling dan emas.[59] Lucas Chin mencadangkan bahawa Gedong ini merupakan
tempat perkuburan tetapi tanpa menemui sebarang tulang
manusia. Terdapatnya pecahan tembikar dan benda-benda lain dengan begitu
banyak besar kemungkinan Gedong ini merupakan politi yang agak besar. Kajian yang dilakukan oleh Lucas Chin
menunjukkan bahawa jika Gedong merupakan sebuah politi maka ia wujud dari abad
ke-7 hingga ke-13[60], iaitu sezaman dengan Santubong.
Limabelas batu ke pendalaman Gedong
terdapat sebuah lagi politi di Bukit Sandong.[61] Di sini terdapat 30,000 serpihan tembikar yang mempunyai
asal dan ketuaan seperti yang terdapat di Santubong dan Gedong. Selain daripada itu yang membezakannya
dengan tempat-tempat tadi ialah adanya 143 serpihan tembikar Sawankhalok. Mengikut Lucas Chin serpihan
Sawankhalok dan ”blue and white sherds” ini ditarikhkan pada abad ke-16
dan ke-17. Walaupun sukar
untuk menyatakan adanya perpindahan dari politi-politi yang awal ke Bukit
Sandong tetapi ia jelas menunjukkan kesinambungan politi Sarawak. Dan walaupun politi Gedong dan Bukit
Sandong ini tidak tercatat dalam tulisan-tulisan China dan Jawa, namun
kewujudannya juga tidak dapat dinafikan. Lucas Chin menyimpulkan,
“What is also considered significant is that with such large
quantities of ceramic wares excavated at such inland sites at Gedong and Bukit
Sandong, it indicates that trade was not necessarily confined to the coast as
previously believed. Trading boats could have sailed as far inland as possible for
trade.”[62]
Negeri
Kalaka
Lembah Sungai Kalaka, tidak jauh dari
lembah Sungai Sadong, hanya 10 batu di sebelah timur Santubong, merupakan juga
tempat wujudnya politi tua di Sarawak. Terletak di kuala Sungai Kalaka dan muara Batang Saribas
ialah sebuah negeri bernama Kabong. Mengikut
Lucas Chin terdapat tembikar yang masih bulat yang diambil oleh orang ramai dan
tidak sempat diambil oleh pihak Muzium Sarawak.[63]Nanga Kalaka lebih bernasib baik kerana di sana ditemui
9,469 serpihan tembikar China termasuk jenis Sawankhalok dan “blue and white
ware”.[64] Kajian menunjukkan bahawa tembikar ini adalah tembikar
abad ke-16 dan 17. Sebuah
lagi tempat di lembah ini ialah Tebing Tinggi. Di sini terdapat 41,762 serpihan
tembikar termasuk jenis Sawankhalok jenis abad ke-16 dan 17.[65] Daripada abad tembikar dibuat ini nampaknya politi di
lembah Sungai Kalaka ini tidak begitu tua seperti yang terdapat di Santubong
dan lembah Sungai Sadong. Bagaimanapun
ini tidak memberi maklumat yang lengkap kerana tembikar di Kabong tidak berjaya
dikaji. Besar kemungkinan
tembikar di Kabong ini bertarikh lebih awal kerana Negarakartagama yang dikarang pada tahun 1365 ada
mencatatkan Kalka sebagai salah sebuah jajahan Majapahit.[66] Di samping itu Kalaka juga sebut sebagai sebuah
negeri yang dianugerahkan kepada Kerajaan Brunei oleh Johor seperti yang
dinukilkan dalam silsilah raja-raja Brunei serta mendapat keutamaan dalam
Kerajaan Brunei.
Syair Tarsilah Cetera Dato’ Gudam
dan Temenggong Kadir Negeri Saribas, judul pendek mungkin Syair Tarsilah Negeri Saribas,
mengandungi episod. Syiar
ini menyebut Kalaka sebagai sebuah negeri yang diperintah oleh dua orang wanita
adik-beradik.
Terhenti dulu kisah
itu
Tersebutlah pula habar suatu
Di Negeri Kalaka’ habarnya tentu
Dayang Hubu’ Dayangnya Ruku[67]
Negeri Saribas
Negeri Saribas sebenar berkongsi muara
Batang Saribas dengan ibu kota Negeri Kalaka yang besar itu sedangkan pusatnya
banyak di sekitar pertemuan Batang Saribas dengan Sungai Rimbas di sebelah hulu
menghampiri pertengahan hutan belantara.disebut di dalam silsilah raja-raja
Brunei dan mendapat tempat yang banyak juga dalam manuskrip tersebut. Negarakertagama tidak ada mencatatkan nama Negeri
Saribas pada abad ke-14 berbanding dengan jirannya, Negeri Kalaka. Ini mungkin disebabkan Negeri Saribas
didirikan pada awal atau pertengahan abad ke-17. Syair Tarsilah Negeri Saribas meriwayatkan pelarian Pengiran
Temenggong Abdul Kadir dari ibu kota Kerajaan Brunei di utara kerana anak
gadisnya, Dang Chi’ yang rupawan, telah diambil oleh sultan. Setelah sampai di muara Batang Saribas
beliau telah mendirikan sebuah negeri dengan ibu kotanya di Tandang Sari di
tebing Sungai Rimbas. Kemudian muncul pula seorang anak raja Pagaruyung,
dikenali di Saribas dan Brunei sebagai Dato’ Gudam, dari Sumatera yang juga
merantau membawa diri kerana gagal dalam ujian naik tahta sambil
berdagang. Pada suatu hari
Dato’ Gudam berlabuh di Tandang Sari dan bertemu dengan Pengiran Temenggong
Abdul Kadir dan isterinya yang masih merindui anak gadis mereka. Pengiran Temenggong Abdul Kadir
berjaya memujuk Dato’ Gudam untuk mengambil dan membawa pulang Dang Chi’ keluar
dari istana. Beliau berjaya
dan atas jasa itu telah dikahwinkan dan Dato’ Gudam kemudian memegang teraju
pemerintahan Negeri Saribas yang menurunkan waris kepada keturunan Abang dan
memegang jawatan-gelaran Datu Patinggi, Datu Bandar, Aulaksamana, Datu Imam dan
Datu Hakim di lembah Batang Saribas. Kesejarahan
boleh dilihat dalam beberapa segi seperti kewujudan sebuah tempat Gudam di
Tanah Datar Minangkabau di mana istana Kerajaan Pagaruyung yang pertama adalah
di Gudam di samping bererti istana dalam Sanskrit. Stamford Raffles, setahun sebelum
mengambil Singapura, telah melawat Gudam untuk berjumpa Raja Pagaruyung pada
tahun 1818. Keturunan Dato’
Gudam masih ingat samar-samar tentang penubuhan negeri ini, tetapi mereka ingat
tentang keturunan yang memegang jawatan-gelaran seperti juga yang dicatat dalam
silsislah raja-raja Brunei. Pengisahan
seorang bernama Aulaksamana terdapat juga dalam karya Charles Brooke di mana
beliau merakamkan bahawu laksamana ini pada tahun 1860 berusia 90 tahun.[68]
Kuala Rajang dan Bintulu
Di samping itu sebuah lagi politi yang
mungkin terletak di Kuala Sungai Rejang, sungai selepas Sungai Kalaka, bernama
Malano.[69] Di kuala sungai ini juga seorang sejarawan terkenal, J.L.
Moens berpendapat kerajaan Melayu awal, Srivijaya dipercayai berpusat.[70] Setakat ini belum dijumpai benda-benda arkeologi di kuala
Sungai Rejang. Nan-hai-chih ada menyebut Achen (Igan) Wentuling
(Bintulu).[71]
Kewujudan politi-politi awal di
wilayah kebudayaan Sarawak versus wilayah kebudayaan Brunei sukar untuk ditolak
dan dipisahkan daripada masa silam Sarawak Lama ataupun Sarawak Baru. Penemuan benda-benda arkeologi di tiga
lembah merupakan bukti kuat tentang kewujudan politi-politi Sarawak dan bukan
Brunei. Sumber-sumber bertulis dari China dan Jawa menguatkan lagi
politi-politi ini walaupun pada suatu ketika mereka jatuh di bawah ketuanan
Brunei (Bo-ni) dan Majapahit. Keraguan yang timbul setakat ini adalah
mengenai politi di kuala Sungai Rejang. Sumber bertulis yang telah
disebutkan di atas mencatatkan beberapa buah politi tetapi artifak-artifak
arkeologi belum lagi ditemui.[72] Bagaimanapun ketuaan politi-politi Sarawak ini tidak
dapat dinafikan sebagai sebahagian daripada masa silam Sarawak Lama dan Baru.
Perkembangan Terkemudian
Politi-politi tua Sarawak tidak lenyap
ditelan zaman seperti yang digambarkan oleh ketiadaan benda-benda
arkeologi. Penyelidikan arkeologi
dan sumber-sumber China dan Jawa hanya dapat membuktikan kewujudan
politi-politi ini dari abad ke 7 hingga ke 14. Bagaimanapun
sumber-sumber lain sedikit sebanyak memberi maklumat untuk menunjukkan
kesinambungan dan kepentingan politi-politi ini. De Barros yang menulis
pada tahun 1530 mencatatkan kepentingan kota-pelabuhan Sarawak:
“In Borneo, Lave, Tanjapura, Cerava, the principal ports of this
island there are many wealthy merchants who trade to Malacca, Sumatra, Siam,
China and other ports, to which they export diamonds, camphor, agala wood …. “[73]
Petikan ini jelas menunjukkan bahawa nama
Santubong telah tidak digunakan lagi dan digantikan oleh Sarawak. Lebih penting lagi Sarawak pada masa
itu dengan jelas dibezakan dengan Brunei yang ditulis sebagai Borneo dan jika
tidak Brunei tidak disebut langsung sebagai pelabuhan penting. Peta-peta Eropah
abad ke-16 dan 17 menamakan Sarawak (bukan Kuching) sebagai Cereua (1537) dan
Cereuwa (1550); Belanos (Melano), Sedang (Sadong), Calca (Kalaka) dan River de
Burulu (Bintulu).[74]Kepentingan Sarawak pada abad ke-16 juga
boleh dilihat dari cadangan raja Brunei, Sultan Saiful Rijal untuk pindah ke
Sarawak setelah Sepanyol menduduki bandar Brunei pada tahun 1578.[75]
Silsilah Raja-Raja Brunei[76] yang
ditulis pada abad ke-17 mengandungi banyak maklumat mengenai pentadbiran
kesultanan ini di wilayah kebudayaan Sarawak seolah-olah wilayah ini mempunyai
tempat yang sangat penting. Manuskrip
B pula menunjukkan kedudukan wilayah kebudayaan Sarawak sebagai istimewa kerana
ia merupakan anugerah daripada Kesultanan Johor dan bukan diserang dan dijajah
oleh Brunei:
“Maka sultan itu dianugerahi oleh Yang Di
Pertuan Johor nobat negara dan genta alamat negeri lima buah, iaitu negeri
Kalaka dan negeri Saribas dan negeri Semarahan dan negeri Serawak dan
Mukah."[77]
Jelas kepada kita bahawa yang disebut
negeri di sini tidak banyak berbeza dengan wilayah kebudayaan Sarawak yang cuba
dicadangkan oleh kertas kerja ini. Manuskrip
A tidak ada mengandungi ayat ini dan oleh yang demikian timbul suatu persoalan
sama ada penyalin Manuskrip B ini berat sebelah kerana beliau berasal dari
Sarawak, namanya Haj Abdul Gaffar bin Abdul Mumin Serawak.[78] Bagaimanapun
kedua-dua manuskrip ini tetap memberikan maklumat yang terperinci mengenai
pentadbiran di tempat-tempat yang dinyatakan.
Keistimewaan negeri-negeri ini,
khususnya Sarawak terserlah lagi apabila raja Brunei, Sultan Muhuiddin telah
menganugerahkan Sarawak (lama) ini kepada adindanya Raja Tengah untuk dijadikan
negeri dan beliau sendiri menjadi raja kerana Raja Tengah sentiasa menggugat
kedudukan sultan.
“Maka tiadalah dipanjangkan riwayatnya
lagi, telah itu dipanggillah oleh Sultan Muhiuddin Raja Tengah itu. Bagindapun lalu mengeluarkan titah
kepada saudaranya Raja Tengah, katanya, “Ya adinda sekarang sudah nasib kakanda
di dalam Berunai jadi demikian ini. Akan
adinda pun pada pikiran kakaanda jadikan raja di dalam negeri Sarawak sebab pun
sama2 juga kita anak Marhum. ….
Maka telah selesailah sudah bermeshuarat apa2 yang dimemuafakatan, maka Raja
Tengah pun suroh oleh baginda Sultan Muihiuddin berangkat ke Sarawak berserta
diberinya rayaat banyaknya seribu orang akan kawannya Raja Tengah. Kemudian telah sampailah Raja Tengah
di Serawak, maka raja pun menitahkan segala rayat sekalian itu melainkan
semuanya dengan kerana tiada berhenti lagi hingga sudah istana dan kota dan
kampong dan mana sahaja kehendak Raja Tengah semuanya dikerjakan oranglah … “[79]
Tidak lama selepas Raja Tengah tidak lama
selepas itu telah belayar ke Johor dan dalam pelayaran pulang singgah di Matan
dan di mana baginda diangkat menjadi sultan Sambas.[80]
Pada awal abad ke-17 terdapat
juga sumber-sumber mengenai beberapa politi-politi Sarawak. Blommart pernah melaporkan bahawa “Sadong
were one of the best place for trade comparable to Lauwe.”57 Laporan
Belanda bertarikh 1609 satu pemberontakan menentang Kesultanan Brunei:
“1609. News
received (in Bantam) that the tribes north of Sambas, living in Calca, Saribas
and Melanoege had defected from the king of Borneo and united themselves with
the King of DJohor.”[81]
Kalaka terus menjadi politi penting
sehingga abad ke 19 walaupun dijajah oleh Kesultanan Brunei. Seorang pegawai Inggeris bernama John
Hunt yang pernah melawatnya pada tahun 1812 menulis:
“ … it is the principal port of trade south of the capital, and the
mart of Sadong country: here
much grain is produced, one hundred pikuls of black birds’ nest, two hundred
pikuls of wax, some gold, pepper, camphor, but the tin mines, before mentioned,
are utterly neglected.” [82]
R. Logan yang menulis pada awal abad yang
sama mengatakan bahawa Kalaka juga menjual mutiara.[83]
Rumusan
Sejak abad ke-7 sudah muncul beberapa
negeri-negeri kota-pelabuhan di dalam apa yang dicadangkan sebagai kawasan
kebudayaan Sarawak. Negeri-negeri
ini terus wujud dan penting walaupun pernah dijajah oleh Brunei dan
Majapahit. Penjajahan
Brunei yang begitu lama tidak boleh dinafikan tetapi pengaruh Brunei itu tidak
merobah kesemua aspek kehidupan dan tidak juga menjadi sebahagian daripada
kebudayaan Brunei. Negeri
ini tetap menjadi politi yang tersendiri dan mempunyai aspirasi tersendiri
walaupun memancarkan ketamadunan Melayu dalam keupayaan mendirikan negeri dan
mentadbir negeri mengikut panduan kitab-kitab Melayu utama seperti Tajul al-Muluk dan Taj
al-Salatin sehigga
memungkinkan wujudnya the
Malay Mediterranean.
Kejayaan Berganda
Tahniah
diucapkan kepada Dr. Bilcher Bala (Program Sejarah) yang baru-baru mendapat dua
kejayaan berganda. Pertama, kejayaan memperoleh ijazah kedoktoran daripada
Universiti Malaya. Kedua, kejayaan mendapat dana FRGS bernilai RM40,000.00 bagi
kajian bertajuk “Sejarah
Masyarakat Lundayeh: Kajian Mengenai Asal-Usul, Migrasi dan Petempatan di
Daerah Sipitang, 1945-2000″. Kejayaan Dr. Bilcher Bala ini sekaligus
mencipta rekod unik untuk SSS
selaku satu-satunya SPIU di UMS yang berjaya mendapat sekurang-kurangnya satu
projek penyelidikan FRGS dalam
setiap pusingan, sejak skim dana penyelidikan ini diperkenalkan pada
tahun 2006.
Pencapaian
ini diharap dapat menyemarakkan lagi mercu kesarjanaan insitusi ilmu — Sekolah
Sains Sosial.
No comments:
Post a Comment